Thursday 31 July 2014

PENGGUNAAN PENILAIAN FORMATIF SEBAGAI PROSES MELENGKAPKAN GELUNG: SATU USAHA PENAMBAHBAIKAN

http://www.ukm.my/p3k/images/sppb08/c/3.pdf


Hamimi Fadziati A. Wahab, Mohd Taufiq Mohd Yusof, Hafizah Husain, Mohd Hairi Mohd Zaman dan Aini Hussain

Kajian ini berkisarkan tentang penggunaan penilaian formatif dalam usaha penambahbaikan pencapaian objektif pembelajaran. Antara implikasi penilaian kepada pelajar adalah dapat meningkatkan kesedaran pelajar tentang tahap pencapaian mereka dalam sesuatu kursus dan dapat meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan satu kaedah untuk mengesan pencapaian objektif pembelajaran. Secara umumnya, terdapat dua jenis penilaian berasaskan masa dan tujuan pelaksanaannya iaitu penilaian formatif dan sumatif. Penilaian formatif ditakrifkan sebagai penilaian secara berterusan dibuat sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung untuk menilai keberkesanan proses PdP. Penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan secara berterusan melalui penilaian formatif. Kaedah ini memberi peluang interaksi antara pensyarah dengan pelajar dan seterusnya dapat memberikan motivasi kecemerlangan. Maklum balas yang diterima merupakan komponen penting yang dapat digunakan ke arah usaha penambahbaikan kepada proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan mutu penyampaian pensyarah dan pemahaman pelajar. Walaubagaimanapun, ia perlulah dibuat dengan komitmen daripada kedua-dua pihak agar proses melengkapkan gelung dapat dilakukan. Kesimpulannya, penggunaan penilaian formatif ini dilihat sebagai salah satu usaha ke arah penambahbaikan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada.
PENTAKSIRAN PEMBELAJARAN PELAJAR: AMALAN GURU-GURU DI MALAYSIA

http://www.medc.com.my/medc/journals/volume5/G)%20Pentaksiran%20Pembelajaran%20Pelajar.pdf

Suah See Ling, Ong Saw Lan dan Shuki Osman

Kajian ini berkisarkan tentang amalan-amalan pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru-guru sekolah. Satu instrumen, Inventori Amalan Pentaksiran Guru (IAPG) dibina untuk tujuan tersebut. Inventori ini terdiri daripada tiga bahagian utama yang mengumpul maklumat tentang latar belakang guru, latihan dan pengetahuan pentaksiran guru serta amalan-amalan pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru-guru sekolah. Hasil kajian menunjukkan bentuk pentaksiran yang sering digunakan oleh guru sekolah merupakan ujian objektif berbentuk aneka-pilihan. Terdapat perbezaan yang signifikan antara guru peringkat persekolahan berlainan dalam aspek pembentukan skema pemarkahan, memberi maklum balas hasil penilaian dan penggunaan ujian bertulis dan penggunaan strategi lain. Perbandingan antara guru dari bidang pengajaran yang berlainan hanya menunjukkan perbezaan yang signifikan dalam ujian bertulis.
MENILAI KEBERKESANAN PELAKSANAAN PROGRAM DIPLOMA PERGURUAN LEPAS IJAZAH PENDIDIKAN SEJARAH SEKOLAH RENDAH DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS PULAU PINANG

http://www.ums.edu.my/fpp/images/stories/Document/SPSG2013/ict%20dan%20pengajaran-pembelajaran%20di%20fadzil_ipg_penang.pdf


Mohamad Fadzil Che Amat Dan Abdul Jaleel Abdul Hakeem

Kajian ini berkisarkan tentang keberkesanan pelaksanaan program Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI- SR) dalam menyediakan guru-guru pendidikan sejarah di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang (IPG KPP). Penilaian input melihat dari aspek proforma DPLI-SR sejarah, program sokongan seperti PLBD, kepakaran pensyarah dan minat pelajar guru. Penilaian proses berfokus kepada aspek pelaksanaan kursus DPLI-SR, pelaksanaan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan praktikum. Penilaian produk melihat kepada prestasi pelajar guru dalam penilaian praktikum, markah peperiksaan akhir dan refleksi pelajar guru terhadap program DPLI-SR. Dapatan kajian menunjukkan secara keseluruhan semua pelajar guru dapat menguasai semua kursus yang ditawarkan serta dapat diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di bilik darjah semasa penilaian praktikum dijalankan. Kajian mendapati semua pelajar menguasai kursus-kursus (input) yang disediakan berdasarkan prestasi pada subjek mereka (produk). Ini bermakna input yang diberikan oleh pensyarah berdasarkan kursus-kursus yang ditetapkan telah memastikan pelajar menguasai kandungan kursus dengan berkesan. Pelajar juga yakin bahawa praktikum/latihan mengajar mereka turut dipengaruhi oleh input pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi semasa kuliah. Kajian juga mendapati pelajar berjaya menguasai kemahiran praktikum (prestasi produk) kerana terdapat penguasaan ilmu dan keyakinan diri untuk mengajar sejarah ekoran bimbingan yang baik yang diterima (input) oleh mereka semasa praktikum dan berdasarkan keputusan (produk) praktikum pelajar
TAHAP KOMPETENSI GURU SEKOLAH RENDAH TERHADAP PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS



Yahaya, Azizi and Hashim, Shahrin and Azzizudin, Fadzlina

Kajian ini berkisarkan tentang tahap kompetensi guru dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dasar Pendidikan Kebangsaan telah menekankan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di dalam pendidikan. Tetapi, menjelang akhir-akhir ini, timbul keresahan dan kebimbangan di kalangan para pegawai tinggi kerajaan dan para majikan tentang betapa merosotnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para lulusan sekolah dan universiti tempatan. Penggunaan bahasa Inggeris di dalam bidang sains dan teknologi, perubatan perdagangan dan lain-lain memang jelas, lebih-lebih lagi dalam era globalisasi dan pengetahuan-ekonomi. Sekiranya bidang pendidikan tidak selari dengan kemajuan sains dan teknologi, maka adalah mustahil untuk sesebuah negara itu berkembang maju kerana kurangnya tenaga mahir bagi membangunkan negara tersebut. Guru-guru matapelajaran Sains dan Matematik perlu mempunyai tahap kompetensi yang tinggi untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diberikan. Ini sekaligus dapat membantu murid dalam proses PdP bagi matapelajaran tersebut. 
THE INFLUENCE OF ELEMENTARY PRESERVICE TEACHERS’ MATHEMATICAL EXPERIENCES ON THEIR ATTITUDES TOWARDS TEACHING AND LEARNING MATHEMATICS



Cindy Jong & Thomas E. Hodges

Kajian ini berkisarkan tentang guru sekolah rendah yang berada dalam tempoh pra perkhidmatan berpendapat mengenai pengalaman belajar dan pandangan terhadap metod pengajaran dan pembelajaran Matematik. Sampel n = 75 telah dipilih untuk dijalankan tinjauan pra dan post. Tinjauan bertujuan untuk memahami persepsi tentang Matematik dan adakah ianya berubah dan kenapa. Dapatan kajian mendapati pengalaman belajar mempengaruhi persepsi/sikap guru pra perkhidmatan terhadap Matematik.  Walaubagaimanapun setelah mengikut kursus pedagogi Matematik, terdapat perubahan yang positif terhadap sikap dan keyakinan guru pra perkhidmatan dalam menjalankan PdP.  
CIRI IKLIM SEKOLAH BERKESAN: IMPLIKASINYA TERHADAP MOTIVASI PEMBELAJARAN

http://www.ukm.my/penerbit/jurnal_pdf/jpend31_01.pdf


Ahmad Zabidi Abdul Razak

Kajian ini berkisarkan untuk menentukan ciri iklim sekolah berkesan. Kajian ini dilihat daripada persepsi 97 orang guru daripada empat buah sekolah menengah agama di Selangor. Kaedah tinjauan digunakan untuk mendapatkan data. Data ini dianalisis untuk mendapatkan taburan kekerapan dan min. Daripada analisis ini menunjukkan ciri sekolah agama menengah berkesan adalah:
  • ·        pelaksanaan amalan hidup Islam dalam setiap aspek pembelajaran dan pekerjaan,
  • ·       pengamalan sifat muraqabah, iaitu merasakan Allah sentiasa memerhati setiap tindakan yang dilakukan,
  • ·         pengetua mengamalkan komunikasi terbuka dalam pergaulan dengan guru dan pelajar,
  • ·         komitmen guru terhadap sekolah adalah tinggi,
  • ·         guru-guru bekerjasama untuk menyelesaikan masalah,
  • ·         kawasan sekolah bersih, cantik, selamat dan cukup tempat ruang belajar,
  • ·         sikap pelajar yang positif.

Berdasarkan dapatan kajian, artikel ini membincangkan implikasinya terhadap motivasi pembelajaran di sekolah. Daripada susunan ciri iklim sekolah menengah agama berkesan ini menunjukkan bahawa peranan seluruh warga sekolah untuk mengamalkan budaya hidup Islam sebagai ciri terpenting. Ia kerana untuk memastikan keberkesanan sekolah, maka semua pihak perlu melaksanakan amanah dengan penuh disiplin dan bukan hanya mencari kesalahan orang lain sahaja.

HUBUNGAN ANTARA BUDAYA FORMAL SEKOLAH DAN GAYA PEMBELAJARAN PELAJAR DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR SEKOLAH MENENGAH




Yahaya, Azizi and Abd. Majid, Nurfaizah 

Kajian ini berkisarkan tentang hubungan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran pelajar dengan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah. Seramai 234 orang responden yang dipilih adalah berdasarkan kaedah persampelan rawak kelompok iaitu kluster atas kluster di lima buah sekolah menengah sekitar daerah Pontian, Johor. Hasil kajian mendapati bahawa budaya formal sekolah yang paling dominan adalah budaya formal sekolah berdasarkan dari aspek sosial. Manakala gaya pembelajaran pelajar yang paling dominan adalah gaya pembelajaran berdasarkan dari aspek visual. Selain itu, terdapat hubungan yang signifikan antara budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran dengan pencapaian akademik pelajar. Oleh itu, beberapa cadangan dikemukakan dalam kajian ini. Antaranya ialah guru dan pelajar harus mengenal pasti budaya formal sekolah dan gaya pembelajaran pelajar agar dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar
AMALAN MEMBUAT KEPUTUSAN DALAM KALANGAN PENTADBIR SEKOLAH MENENGAH



Norsurayahani

Kajian ini berkisarkan tentang mengenalpasti faktor-faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi pentadbir sekolah menengah harian biasa daerah Segamat dalam membuat keputusan. Seramai 74 responden terlibat dalam kajian ini daripada 24 buah sekolah. Hasil kajian menunjukkan tiga faktor luaran yang mempengaruhi pentadbir sekolah dalam membuat keputusan iaitu hubungan interpersonal dalam organisasi, amalan dan budaya organisasi, dan sistem maklumat dan komunikasi. Manakala, empat faktor dalaman yang dikaji mempengaruhi pentadbir sekolah menengah dalam membuat keputusan iaitu pengetahuan dan kemahiran, nilai dan konsep individu, gaya membuat keputusan dan intuisi, dan personaliti dan trait. Dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor luaran mengikut jantina, manakala terdapat perbezaan yang signifikan antara faktor dalaman mengikut jantina. Dapatan kajian juga menunjukkan pentadbir mengikuti langkah-langkah dalam proses membuat keputusan berdasarkan model tertentu dengan kerap. 

PENGINTEGRASIAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK DI KALANGAN GURU MATEMATIK DI DAERAH KOTA TINGGI


http://eprints.utm.my/13425/ 

Bakar, Md. Nor and A. Hadi, Rashita

Kajian ini berkisarkan tentang tahap pelaksanaan pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik di kalangan guru Matematik. Tiga aspek telah dikaji bagi menjawab persoalan kajian ini iaitu tahap pengintegrasian ICT di kalangan guru Matematik, kesesuaian kursus ICT yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau Pejabat Pelajaran Daerah kepada guru Matematik dan faktor-faktor yang menjadi penghalang kepada pengintegrasian komputer di kalangan guru Matematik. Dapatan kajian mendapati tahap pengintegrasian ICT di kalangan guru Matematik dalam pengajaran dan pembelajaran berada di tahap yang rendah. Walau bagaimanapun, keeengganan guru-guru Matematik untuk mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik bukanlah disebabkan faktor dalaman yang ada pada diri mereka tetapi ia berpunca daripada faktor-faktor luaran seperti kemudahan ICT yang tidak sempurna dan kekurangan latihan ICT sejak peringkat pengajian hinggalah ke peringkat perkhidmatan. Masalah-masalah yang telah dikenalpasti ini sebenarnya berlaku dikebanyakkan tempat di Negara kita terutamanya kawasan luar Bandar dan pedalaman. Jika pihak kementerian inginkan pengintegrasian ICT dalam PdP Matematik dan matapelajaran lain diamalkan, maka usul yang dicadangkan dalam kajian ini boleh dipertimbangkan. 
PEMBANGUNAN PERISIAN MULTIMEDIA BERASASKAN PENDEKATAN PERMAINAN PERINGKAT PRASEKOLAH BAGI TAJUK KONSEP NOMBOR

http://eprints.utm.my/12010/

Tasir, Zaidatun and Mohd Razali, Nurul Amirah

Kajian ini berkisarkan tentang penggunaan komputer sebagai alat rangsangan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Penggunaan computer kini merupakan satu inovasi yang terkini dalam pendidikan awal kanak-kanak. Penggunaan komputer dalam proses PdP juga amat disarankan oleh kerajaan kerana sistem pendidikan kini memerlukan generasi celik komputer. Dalam kajian ini perisian multimedia berasaskan pendekatan permainan untuk kanak-kanak prasekolah bagi tajuk 123 Concept telah dibangunkan. Kandungan perisian ini disusun berdasarkan huraian sukatan pelajaran bagi pendidikan prasekolah mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM). Proses pembinaan perisian ini menggunakan model ADDIE yang mengandungi lima aliran kerja iaitu analisis, rekabentuk, pembangunan, perlaksanaan dan penilaian. Pendekatan bermain sambil belajar diterapkan dalam perisian ini kerana ia merupakan konsep dan prinsip pendidikan prasekolah. Kelebihan utama perisian berasaskan pendekatan permainan ialah ia mampu menarik minat dan perhatian kanak-kanak melalui aktiviti dan latihan yang berkonsep bermain sambil belajar. Tumpuan kanak-kanak lebih mudah diperolehi dalam PdP yang dijalankan dan membantu murid untuk memahami isi kandungan PdP yang diajar. Ini memudahkan guru mengawal kelas sekaligus memberi peluang kepada murid untuk mendapatkan ilmu semaksimum mungkin melalui perisian ini. 
PENGINTEGRASIAN ICT DALAM PdP



Mohd Mahizam B Mohd Toha

Artikel ini berkisarkan tentang pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ianya dapat dilihat dari dua perspektif. Perspektif yang pertama ialah pengaplikasian perkakasan dan perisian bagi tujuan memudahkan proses penyampaian di bilik darjah. Perspektif yang kedua harus dilihat pada potensi yang ada pada setiap elemen multimedia yang dicipta dan bagaimana ianya mampu memperluaskan ilmu dan kemahiran murid melalui amalan pedagogi di bilik darjah.
Tiga kriteria yang perlu diberi perhatian oleh guru agar media yang digunakan dapat diintegrasikan dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP):
  • Mampu menjana idea
  • Mampu mengukuhkan pemahaman
  • Menggabungkan dengan kaedah dan teknik yang tertentu (aspek pedagogi)
Penggunaan media bukan sahaja dapat membantu proses PdP guru, malahan ianya juga dapat  membantu murid menyelesaikan masalah secara kritis, kreatif dan inovatif tanpa bergantung kepada jawapan yang diberikan oleh guru sepertimana yang terdapat pada corak pembelajaran konvensional.

Friday 25 July 2014

 APLIKASI  E-LEARNING DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH- SEKOLAH MALAYSIA : ISU DAN CADANGAN PERLAKSANAANNYA 


       Wahyu Idris, Yahya Buntat

 Kajian ini berkisarkan tenatang pembelajaran e-learning yang sememangnya kaedah pembelajaran yang perlu diterapkan dikalangan pendidik masa kini. Ia bukan sahaja mampu menarik minat pelajar dan membantu memberi kefahaman yang jelas, tetapi memberi pendedahan awal kepada mereka tentang penggunaan ICT dalam kehidupan seharian. Kekerapan penggunaan ICT menyediakan minda dan pengalaman yang baik untuk masa depan pelajar. Terdapat kekangan dalam proses pelaksanaan e-learning di Malaysia. Hal ini terutamanya apabila berdepan dengan isu luar bandar dan pedalaman. Pihak bertanggungjawab seharusnya memandang serius perkara ini terutamanya dari segi fasiliti jika mahu pelaksanaannya berjalan lancar. 

MULTILEVEL ANALYSIS OF ACHIEVEMENT IN MATHEMATICS OF MALAYSIAN DAN SINGAPOREAN STUDENTS


M Najib Abd Ghagar, Rohani Othman & Ebrahin Mohammadpour (2011)

Artikel / kajian ini berkisarkan tentang variasi dalam pencapaian Matematik di Malaysia dan Singapura bagi murid 8 tahun dan perkaitannya dengan perbezaan murid serta tahap sekolah. Responden yang terlibat adalah murid yang sama mengikuti TIMMS 2003. Didapati bahawa tahap sekolah memberi perbezaan kepada pencapaian murid dalam kedua-dua negara. Ini menunjukkan bahawa sekolah memberi kesan kepada pencapaian murid. Keberkesanan sekolah bergantung kepada efektifnya seseorang guru itu. Ini membuktikan bahawa guru memainkan peranan yang penting dalam pendidikan. Selain daripada itu, turut dinyatakan konsep kendiri, sikap terhadap matematik dan sumber pendidikan di rumah juga member kesan kepada pencapaian murid. Perbezaan di antara murid yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar turut dinyatakan dalam kajian ini. Murid bandar menunjukkan prestasi yang lebih baik. Ini mungkin berlaku kerana mereka mendapat sumber yang sepenuhnya ke atas kemudahan berbanding di luar bandar. Secara keseluruhannya, keputusan TIMSS menunjukkan perbezaan yang besar. Namun begitu, faktor pencapaian murid masih lagi sama dan ianya masih perlu diperbaiki di Malaysia agar kita berada setanding dengan negara luar.
WHY USING INTERNATIONAL COMPARATIVE MATH AND SCIENCE ACHIEVEMENT DATA FROM TIMSS IS NOT HELPFUL



William G. Holiday & Berchie W. Holiday (2003)

Artikel / kajian ini berkisarkan tentang keputusan yang diperolehi oleh TIMMS yang tidak membantu dalam menentukan pencapaian murid-murid tersebut di dalam bidang Matematik. Beberapa faktor yang menyebabkan keputusan tersebut kurang berguna. Antaranya ialah:
  • ·         Penggunaan bahasa ibunda yang berbeza
  • ·         Sampel yang digunakan sedikit
  • ·         Kurikulum yang dibina berbeza
  • ·         Pemilihan responden yang tidak mengikuti standard yang ditetapkan
  • ·         Persediaan murid yang berbeza

Melalui artikel ini, didapati keputusan TIMSS yang dikeluarkan adalah kurang tepat untuk digunakan di dalam menentukan ranking bagi setiap negara dalam subjek Matematik. Penilaian dan refleksi sepenuhnya diperlukan dalam memastikan keputusan TIMMS tersebut berguna seperti penyelarasan bahasa yang akan memudahkan murid semasa menjawab soalan serta pemilihan responden yang teliti dan telus. Ini akan dapat membantu menambahbaik TIMMS pada masa hadapan. Secara keseluruhannya, TIMSS adalah satu keuputusan yang boleh kira di ambil berat oleh sesetengah negara. Namun begitu, sekiranya keputusan yang diberikan tidak berguna / tidak bermanfaat, maka peruntukkan bagi TIMSS haruslah disalurkan ke mana-mana bahagian/bidang pendidikan yang lebih memerlukan. 
MATHEMATICS AND SCIENCE ACHIEVEMENT IN MALAYSIA 

Hui Peng Liew & Suet-ling Pong (2004)

http://paa2005.princeton.edu/download.aspx?submissionId=50599 

Kajian ini berkisarkan tentang mengetahui tahap pencapaian murid di Malaysia dalam subjek Matematik dan Sains. Responden yang terpilih adalah murid yang menduduki TIMSS 1999. Melalui kajian ini, didapati murid bukan Melayu menunjukkan keputusan yang lebih baik di dalam subjek Matematik tetapi tidak dalam subjek Sains. Selain itu juga, murid lelaki menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam Matematik dan Sains berbanding murid perempuan. Ibu bapa dan pendidikan mereka juga memberi kesan terhadap pencapaian Matematik tetapi bukan subjek Sains.Melalui dapatan ini, dapatlah dikatakan bahawa pencapaian murid dalam TIMSS adalah bergantung kepada pelbagai faktor. Namun begitu, kita masih lagi berada di tahap kurang memberansangkan di dalam TIMMS kerana banyak faktor yang belum diatasi seperti jurang pendidikan yang berlaku iaitu kurangnya kemudahan yang disediakan buat murid yang berada di luar negara. Kajian ini mencadangkan supaya polisi pendidikan diperbaiki untuk mencapai tahap pendidikan antarabangsa. Dasar pendidikan yang cekap berpengetahuan yang menyeluruh seperti menyediakan kemudahan kepada keluarga, murid, guru dan sekolah, mengubah kurikulum, dan melaksanakan amalan pengajaran diperlukan. 

Thursday 24 July 2014

TAHAP KEBIMBANGAN GURU SEKOLAH RENDAH KEBANGSAAN TERHADAP PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS


Azizah Rajab, Hamidah Abdul Rahman dan Wan Zarina Wan Zakaria

    Kajian ini berkisarkan kepada pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. PdP ini memerlukan kemahiran dan strategi pengajaran berkesan menghasilkan pendidikan yang sempurna. Untuk mencapai misi ini, guru mestilah mempunyai tahap pencapaian yang tinggi dalam penggunaan bahasa Inggeris bagi merealisasikan pembelajaran menggunakan bahasa tersebut dalam kedua-dua subjek ini. Kementerian Pelajaran telah dan sedang melaksanakan pelbagai program latihan untuk membantu guru-guru untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Walaupun program yang dirangka menjanjikan satu pencapaian yang baik, keberkesanannya masih terlalu awal untuk dilihat terutama dari aspek kebimbangan guru itu sendiri terhadap pengajaran menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di dalam kedua-dua subjek tersebut. Kajian ini bertujuan mengenalpasti tahap kebimbangan di kalangan guru Matematik dan Sains sekolah rendah kebangsaan Tahun Satu terhadap pengajaran subjek tersebut di dalam bahasa Inggeris. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tahap kebimbangan guru matematik dan sains adalah pada tahap sederhana. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa tahap kebimbangan terhadap tiga sub-skala kebimbangan berdasarkan faktor demografi seperti jantina, status perkahwinan, pengalaman mengajar dan umur adalah pada tahap sederhana. Kebolehan berbahasa Inggeris sebagaimana yang diperlukan untuk mengajar secara berkesan adalah satu cabaran baru kepada guru-guru tersebut. Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat guru-guru yang memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik tetapi mereka masih bergelut dengan bentuk bahasa akademik yang diperlukan untuk pengajaran yang berkesan.